Tiba-tiba hati ini merasa begitu rindu kepada manusia yang telah banyak berkorban untuk cahaya keimanan ini menyinari kehidupan manusia hingga manusia dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan keburukan serta kemuliaan dan kehinaan.
Mungkin kerana hari ini apabila saya bukakan pintu almari pagi tadi terpandang pula sebuah buku kecil yang ditulis oleh Dr 'Aid Abdullah al Qarni tentang keperibadian Rasulullah SAW. Rasa rugi pula kerana tidak terus mencapai buku tersebut untuk dijadikan teman karib pada hari ini.
Rasulullah SAW memang seorang manusia yang patut dirindui serta dicintai melebihi insan-insan lain di dunia ini. Malangnya kita terlalu sibuk untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam hingga rasa cinta dan rindu padanya tidak dapat berputik dan membuahkan keimanan yang dapat menghidupkan jiwa hingga kita mengambil baginda sebagai qudwah dan ikutan kita.
Saya tidak dapat melupakan perasaan saya disaat-saat pertemuan dengannya dalam mimpi pada suatu malam. Satu mimpi yang cukup panjang dan sangat menggembirakan saya. Sejak itu saya sering menangis apabila terdengar nama baginda disebut apatah lagi apabila menghayati lembaran-lembaran sirahnya yang mulia.
Saya akan menangis apabila menyebut atau mendengar nama Saiditina Khadijah kerana baginda pernah menangis untuknya bahkan setiapkali hendak makan baginda akan sediakan satu bekas kosong untuk Saidatina Khadijah walaupun beliau sudah lama meninggal dunia. Pernah suatu hari Saidatina A'ishah dengan jiwa kewanitaannya mengeluarkan kata-kata yang agak tajam tentang Saidatina Khadijah kerana rasa cemburu dengan sikap Rasulullah SAW terhadap Saidatina Khadijah menyebab baginda seorang yang lemah lembut berubah hingga merah padam wajahnya. Begitulah kasih baginda kepada insan yang telah banyak berkorban untuk dakwah yang baginda dokong. Saidatina Khadijahlah wanita kaya yang hidup dalam kemiskinan setelah seluruh hartanya dikorbankan untuk dakwah yang didokong oleh suaminya yang tercinta. Saidatina Khadijahlah yang sentiasa disampingnya ketika masyarakat Quraisy menentang keras dakwah Rasulullah SAW. Saidatina Khadijahlah yang pernah hidup mewah itu pulalah yang setia hidup kelaparan disamping baginda ketika umat Islam diboikot selama 3 tahun hingga menyebabkannya sakit tenat yang berakhir dengan kematian.
Saya akan menangis apabila terkenangkan peristiwa di Taif yang cukup menyayat hati. Saya tidak dapat membayangkan lelaki yang dihatinya penuh kecintaan dan harapan untuk kebahagiaan manusia dilayan seburuk itu oleh tetangga keluarga susuannya. saya akan terasa sebak membayangkan darah-darah yang mengalir melalui betis baginda dan membasahi bumi Taif itu sedangkan pada tubuh yang dibasahi darah itulah terdapat sekeping hati yang padat dengan kecintaan pada umat manusia. Apabila ditawarkan malaikat untuk membinasakan bumi Taif itu...baginda menolak, katanya "Jika mereka tidak beriman, mungkin dari sulbi mereka nanti akan lahir zuriat-zuriat yang beriman". Bahkan Rasulullah doakan kebaikan untuk mereka.
Untuk apa semua pengorbanan itu? Adakah untuk kepentingan dirinya sendiri? Adakah untuk harta dan kekayaan, pangkat dan kedudukan? bukankah semuanya untuk kita? Untuk kita beriman dan selamat dari azab siksa neraka, untuk kita mengenal kebenaran dan kebatilan dan untuk kita benar-benar mencapai kebahagiaan yang sebenarnya.
Rasulullah SAW telah menghiasi hidupnya dengan warna-warna cinta & kasih sayang. Baginda telah mencorakkan perjalanan hidupnya dengan perjuangan dan pengorbanan demi cinta kasihnya. Cinta dan kasih sayang yang tidak ternilai dan diluar jangkaan manusia biasa. Sekiranya kita menelusuri perjalanan hidup baginda serta menghayati setiap degupan nadi kehidupannya, kita akan lihat gambaran wajah kasih sayang yang terlalu mendalam serta cinta yang tidak berpenghujung pada umatnya.
Kasih baginda tak pernah padam hinggalah suatu pagi, pagi yang bersejarah, pagi yang suram dan penuh dengan kedukaan.....
Pagi itu, walaupun langit mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayapnya. Pagi itu, Rasulullah saw dengan suara yg tersekat-sekat memberikan khutbah; "wahai umatku, kita semuanya dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNya. Maka taati dan bertaqwalah kepada Nya.
Apabila malaikat maut datang menghampirinya, baginda bertanya kenapa jibril tidak bersamanya. Kemudian dipanggil jibril yg sebelumnya bersiap di atas langit dunia menyambut roh baginda.
Jibril, jelaskan apakah hakku nanti di hadapan Allah ? Tanya Rasulullah dengan suara yang sangat lemah. "pintu-pintu langit sudah terbuka, malaikat sedang menanti roh kamu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata jibril. Namun jawapan itu tidak membuatkan Rasulullah lega, malah matanya masih penuh keresahan.
"Engkau tidak senang mendengar khabar ini? Tanya jibril. "Khabarkan kepadaku, bagaimanakah nasib umatku kelak? "Jangan khuatir wahai Rasulullah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku; "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad sudah berada di dalamnya," kata jibril. Ketika it barulah nampak tanda-tanda kelegaan pada wajahnya yang muia itu.
Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat leher baginda menegang. "jibril, betapa sakitnya sakaratul maut ini," perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Saidina Ali yang di samping baginda tunduk dan jibril memalingkan mukanya.
"Jijikkah engkau melihatku sehinggakan engkau palingkan wajahmu, jibril? Tanya Rasulullah kpd malaikat jibril. "Siapakah yg sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal." kata jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yg tidak tertahan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan sahaja siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai sejuk, kaki dan dadanya tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar-getar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu, saidina Ali segera mendekatkan telinganya.
"Peliharalah solat dan peliharalah orang lemah di antara kamu."
Begitulah saat-saat akhir manusia agung yang jiwanya dipenuhi rasa kasih pada ummatnya. Setiap detik hayatnya adalah untuk ummatnya, setiap kepayahannya adalah untuk keselamatan ummatnya serta setiap jerih perit kehidupannya adalah untuk cahaya keimanan ini terus tersebar menyinari hidup ummatnya. Sejarahnya adalah sejarah petunjuk dan kasih sayang. Kasih sayang yang tiada ukurannya untuk kita ummatnya.
* 678 reads
Facebook ID or register to post comments
Advertise here for RM10 yearly per link / 1 line
Recent comments
18 weeks 4 days ago
29 weeks 3 days ago
32 weeks 1 day ago
34 weeks 6 days ago
34 weeks 6 days ago
40 weeks 6 days ago
50 weeks 3 days ago